Larangan mengganggu: Petua untuk mencerap burung secara berhemah

Wajarkah penggunaan peranti pemanggil burung atau tidak? Dengarlah komen-komen pakar pencerap burung dan isu-isu lain dalam panduan ini yang mempertengahkan cara pencerapan burung secara beretika.

Rufous-backed Kingfisher. Gambar oleh Amir Isqandar, The Habitat Foundation.

Dari banjaran gunung asli ke bakau berlumpur, Malaysia merupakan landskap tropika yang amat istimewa dan merupakan syurga bagi peminat burung. Negara yang biodiversiti ini juga merupakan rumah kepada pelbagai jenis burung untuk bermastautin, sekaligus menjadikannya destinasi yang sesuai untuk aktiviti mencerap atau memerhati burung.

Dengan peningkatan kesedaran alam sekitar baru-baru ini, banyak tapak pencerapan burung dan tempat perlindungan sedang dikenalpasti di seluruh Malaysia. Antara lokasi yang terkenal dan sesuai untuk aktiviti mencerap burung, termasuk Kuala Selangor, Bukit Fraser, Taman Negara, Taman Kinabalu, Lembah Danum dan Taman Negara Bako.

Bukit Fraser, destinasi yang sesuai untuk semua pencerap burung. Gambar oleh Cassie Leong, The Habitat Foundation.

Memandangkan kedudukan Malaysia strategik iaitu di atas laluan hijrah Australasia, negara kita diberkati dengan lebih daripada 250 spesies burung hijrah. Dengan itu, aktiviti mencerap burung perlu dilaksanakan dengan sikap bertanggungjawab atas dasar menjaga kebajikan spesies burung tersebut dan inisiatif ini termasuk menghormati dan memastikan keselamatan golongan spesies dan habitat semula jadi mereka.

Sesi pencerapan burung ini merupakan satu aktiviti yang melibatkan pemerhatian dan pengkenalpastian burung di sekeliling persekitaran atau habitat asal mereka. Jadi pelbagai usaha padu perlu diambil dan dititikberatkan supaya kelestarian aktiviti ini dapat diteruskan pada jangka masa yang panjang. Jika terlalai dengan sikap tidak beretika, masa depan aktiviti pencerapan burung ini boleh terjejas.Dalam usaha memahami dengan lebih mendalam aspek etika dalam aktiviti pencerapan burung , beberapa pakar burung yang berkecimpung dalam bidang ini melebihi satu dekad telah dihubungi. Pandangan bernas mereka menekankan prinsip-prinsip dalam aktiviti pencerapan burung secara beretika bagi menjamin kelestariannya. Selain mengutarakan kebimbangan mengenai status terkini aktiviti pencerapan burung di Malaysia, mereka telah berkongsi petua-petua ke arah kehidupan yang lebih bertanggungjawab.

Memperkenalkan pakar peneroka burung

Lawatan kerja rasmi dengan The Habitat Foundation telah mempertemukan K.S. Durai, yang juga dikenali sebagai ‘Birdman’ di Bukit Fraser. Perjumpaan istimewa yang disambut dengan senyuman yang melakar oleh individu yang berumur 65 tahun itu, bukan sahaja telah memberikan peluang untuk mengetahui pengalamannya yang luas dalam pencerapan burung, tetapi juga penglibatan beliau dalam aktiviti-aktiviti lain baru-baru ini.

K.S Durai. Gambar oleh Persatuan Alam & Warisan Bukit Fraser.

Sebagai salah seorang pembimbing pencerapan burung yang terkenal di seluruh negara, Durai, mempunyai pengetahuan luas lebih daripada 35 tahun dalam bidang pencerapan burung di Bukit Fraser. Beliau juga merupakan seorang individu yang sangat digemari dalam kalangan komuniti tempatan dan antarabangsa yang terlibat dalam aktiviti ini.

Selain Durai, nama yang tidak asing dalam kalangan komuniti tersebut ialah Andrew Sebastian, seorang bekas peguam yang kini bergelar penyokong pemuliharaan alam sekitar atau dikenali sebagai ‘conservationist’. Sebagai pakar eko-pelancongan dan bertauliah dalam bidang ini, beliau sentiasa menyokong pencerapan burung secara bertanggungjawab di Malaysia.


Andrew Sebastian, Presiden, Pengasas, dan CEO EcoMY. Gambar oleh EcoMY.

Berikut adalah garis panduan daripada kedua-dua pakar tersebut yang boleh memperindahkan pengalaman pencerapan burung anda:

1. Pemerhatian jarak jauh:

Penerokaan habitat burung perlu dilaksanakan secara hormat dan berhemah. Untuk itu, seseorang peneroka patut mengawal kecenderungan dan keinginan diri untuk memperhatikan burung dari jarak dekat untuk mengelakkan stres terhadap burung-burung tersebut. Sebaliknya, aktiviti mencerap burung perlu dilaksanakan mengikuti jarak optimum yang dibenarkan.

Warga pemerhati burung juga perlu sentiasa berwaspada untuk sebarang perubahan dalam tingkah laku burung. Jika burung didapati mengalihkan vokal, atau berterbangan jauh oleh kerana kehadiran manusia, fenomena ini membuktikan seseorang itu telah melangkaui batas mereka dan sudah tibanya masa untuk ambil langkah undur ke belakang.

Memerhati burung dari jarak yang selamat di Bukit Fraserl. Gambar oleh The Habitat Foundation.

2. Senyap dan sabar menunggu:

Adakah anda tahu bahawa burung mempunyai pendengaran yang jauh lebih baik berbanding dengan manusia? Pastikan untuk mengurangkan bunyi yang tidak diingini bagi mengelakkan burung-burung tersebut dikejutkan.

Jalan dengan perlahan dan gunakan pergerakan atau suara yang lembut untuk berkomunikasi dengan pencerap burung yang lain untuk mengelakkan gangguan kepada burung tersebut.

3. Kod pemakaian yang sesuai:

Pilih pakaian yang gelap atau warna yang bersesuaian dengan persekitaran atau lokasi mencerap burung. Warna terang akan menarik perhatian dan kemungkinan besar akan menakutkan mereka. Antara alat-alat asas dan penting bagi semua permerhati burung ialah binokular dan kamera dengan kanta yang bersesuaian.

Binokular merupakan intipati penting dalam aktiviti mencerap burung. Sepertimana yang diceritakan oleh Durai sebelum ini, beliau telah dihadiahkan sepasang binokular oleh seorang wanita Jerman untuk menerokai Bukit Fraser bersama-samanya beberapa tahun dahulu. “Di situlah bermulanya perjalanan saya dalam aktiviti pencerapan burung ini. Keinginan untuk mengetahui lebih mendalam tentang burung tercetus saat saya menerima hadiah tersebut,” ulas Durai.

4. Peringatan apabila berkongsi maklumat lokasi secara atas talian

Fikir masak-masak sebelum mendedahkan lokasi burung-burung walaupun terlalu teringin untuk memuat naik gambar burung-burung tersebut di aplikasi media sosial. Perkongsian atas talian berkemungkinan besar akan menarik perhatian orang ramai dan kehadiran mengejut mereka boleh menyebabkan gangguan terhadap ekosistem burung selain mewujudkan stres terutamanya pada musim pembiakan dan penghijrahan.

5. Gunakan teknologi secara bertanggungjawab

Penggunaan peranti atau alat pemanggil burung masih dibahas secara meluas dan pakar-pakar tidak menggalakkan penggunaannya untuk memimik suara burung bagi menarik perhatian mereka. Hal ini demikian, penggunaan alat itu secara berlebihan bukan sahaja akan memberikan impak terhadap tingkah laku burung, tetapi juga membawa stres kepada mereka.

“Penggunaan alat seperti ini boleh mempengaruhi tingkah laku burung dan mewujudkan stres. Bagi mengelakkan fenomena ini, peranan kita adalah untuk mendidik para pencerap burung tentang penggunaan alat ini secara berhemah,” ulas Durai.

Berdasarkan satu kajian oleh Watson et al., 2018, didapati bahawa burung-burung yang terdedah kepada ‘call playbacks’ untuk jangka masa yang lama boleh menjadikan mereka lebih gelisah berbanding dengan burung-burung yang tidak terdedah kepadanya.

Para pemerhati burung mudah tertarik dengan aktiviti mencerap disebabkan oleh perasaan cinta semula jadi terhadap kehidupan liar. Pakar-pakar seperti Durai dan Andrew yang telah berkecimpung dalam bidang ini, memainkan peranan yang penting untuk sentiasa mengingati komuniti dan orang awam tentang keperluan untuk menjaga ketenteraman burung dan habitat mereka. Aktiviti mencerap burung yang mampan akan menjadi aktiviti yang menyeronokkan untuk manusia dan memberi kesan rendah terhadap burung-burung.

Tempah lawatan anda dengan Durai atau Andrew

Lihatlah projek-projek berkaitan burung di EcoMY

Penulis: Rebecca Anne Chin (The Habitat Foundation) 

Peyumbang maklumat: K.S. Durai (Ornithological Tours), Andrew Sebastian (Founder, President of EcoMy)