Kesedaran yang menyentak
Dalam satu perbualan yang mengubah hidup saya, rakan komuniti kami memberikan hadiah paling berharga: kejujuran. Saya ingin kongsikan hadiah ini, supaya orang lain tak ulang kesilapan saya.
Apabila aktiviti kami bertambah daripada sekali setiap dua minggu menjadi beberapa kali seminggu, rakan komuniti kami mula keletihan. Ketika itu, kumpulan hos kami kecil, jadi kami bergantung kepada beberapa individu utama—yang kebanyakannya juga bekerja sambilan atau sepenuh masa di tempat lain.
Mereka terpaksa memilih antara tambah pendapatan, atau hadir ke acara keluarga. Seorang berkata lebih kurang begini: “Saya pun perlukan masa untuk hidup. Kalau tidak, apa guna ada duit?” Mereka menghargai masa lapang, dan merasakan ia tidak berbaloi untuk terus dikorbankan.
Ada pula yang mungkin bertanya: “Kenapa mereka tak berhenti kerja lain dan fokus sepenuhnya dengan kamu? Duit yang sama, tapi masa lebih pendek, malah boleh bina aset sendiri.” Saya pun pernah bertanya soalan yang sama.
Bagi mereka yang hidup di pinggir arus perdana, kestabilan sangat bernilai. Mereka lebih menghargai pendapatan kecil yang stabil setiap hari, berbanding pendapatan besar yang tak menentu. Mereka inginkan rasa selamat, dan kami pula dilihat sebagai risiko.
Pertumbuhan tak semestinya memperkasakan
Rakan komuniti pertama kami secara tak langsung menjadi pemimpin apabila projek kami mula mendapat sambutan. Dia kini dilihat sebagai wakil dan pelindung kepentingan komuniti dalam hubungan kami. Beban ini menekan dan mengubah hubungan dia dengan orang sekeliling. Dia berkongsi bahawa urusan perniagaan ini turut menjejaskan persahabatan kami, dan dia yakin satu hari nanti dia akan terpaksa kecewakan saya atau komuniti.
Dia menghargai ketenangan, dan tidak mahu lagi menjadi figura utama, walaupun itu datang dengan kuasa atau ganjaran. Kos untuk terus terlibat terlalu tinggi.
Akhirnya saya belajar bahawa tujuan dan keakraban adalah dua perkara yang sukar untuk ditingkatkan secara skala besar.
Pada peringkat awal, rakan Orang Asli kami seronok berinteraksi dengan pelawat. Mereka rasa dihargai apabila orang luar berminat dengan budaya mereka. Mereka rasa berkuasa bercerita dan menemui makna yang lebih mendalam dalam kerja mereka.
Inilah suasana semula jadi bila kumpulan kecil, tiada tekanan, dan jadual lawatan pun fleksibel. Tapi bila kami mula terima klien besar dengan kehendak yang lebih ketat, rakan komuniti mula rasa terkongkong. Hubungan menjadi terlalu transaksional, dan naratif mereka jadi skrip yang perlu diulang demi konsistensi pengalaman pelanggan.
Kami pernah menjanjikan kehidupan lebih baik melalui kerja yang bermakna. Tapi apabila kami mula menilai kejayaan hanya melalui pendapatan, kami hilang arah.
Ini turut mengubah jenis rakan komuniti yang kami tarik. Yang awal dulu, semangatnya untuk membantu komuniti. Yang kemudian pula, lebih bersifat upahan—setiap sen dirunding, dan lebih berkira tentang konsep perkongsian bersama. Akhirnya, perbezaan nilai antara kumpulan awal dan akhir membuatkan pasukan kami berpecah.