9 Petua Untuk Memerhati Hidupan Liar secara Beretika di dalam Hutan Hujan

Perkongsian pakar tentang cara-cara untuk memanfaatkan pelancongan hidupan liar anda dengan sepenuhnya sambil meninggalkan impak yang minimum terhadap alam sekitar. 

Pada pertengahan tahun 2014, saya telah melawat Earth Lodge Malaysia, iaitu sebuah pengendali pelancongan impak rendah di hutan hujan Ulu Muda bersama suami saya, Jonathan ketika saya baru mula menetap di Malaysia. Ianya merupakan pengalaman pertama kami jauh di dalam hutan hujan peninsula dan dengan bertuahnya, kami dapat menyaksikan segerombolan gajah minum mineral daripada salah satu jenut aktif yang berhampiran dengan persekitaran rumah penginapan itu. 

Saya amat terkejut. Mata-mata mereka yang bijak meneliti kami dengan berhati-hati ketika seekor anak gajah menjulurkan kepalanya dari belakang dan mengangkat belalainya dengan kekok. 

Pengalaman-pengalaman seperti ini telah memberikan saya pandangan berharga tentang kepentingan dan keistimewaan hidupan liar di Malaysia. Ianya merupakan sebab kenapa saya telah kembali berulang kali ke Ulu Muda, membawa anak-anak muda Malaysia (melalui pertubuhan bukan keuntungan, GreenSmiths) untuk mempelajari tentang warisan semulajadi mereka, serta mengundang mereka untuk mengagumi hidupan liar asli di sini. 

Jenut mineral, atau jenut garam, adalah kawasan-kawasan istimewa di mana mineral-mineral penting ditolak ke permukaan melalui aktiviti geoterma. Kawasan ini menarik pelbagai biodiversiti di mana kehidupan liar melawat jenut garam ini untuk makan mineral tersebut. 

Jika dikendalikan dengan baik, lawatan berpandu beretika boleh menjadi cara yang konsisten untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang populasi hidupan liar di sesuatu kawasan dan memupuk kenangan abadi yang kuat - sama seperti di Ulu Muda di mana seseorang dapat menyaksikan keagungan dan kecerdasan gajah Asia di alam liar.

Hymeir dan pemandu pelancong memberitahu pengunjung tentang jenut di Ulu Muda. Gambar oleh Hii Ning dari Management & Ecology of Malaysia’s Elephants (MEME). Hii Ning from Management & Ecology of Malaysia’s Elephants (MEME).

Sebuah kajian pada tahun 2021 oleh WWF menunjukkan bahawa lebih kurang 15 spesis hidupan liar berulang kali ke kawasan jenut garam di Ulu Muda, termasuk tenuk MalayaTapirus indicus), rusa sambar (Rusa unicolor), kijang menyalak (Muntiacus muntjak), babi hutan (Sus scrofa), monyet berok (Macaca nemestrina) dan juga gajah Asia (Elephas maximus). 

Tetapi laporan ini, seperti kebanyakannya, menyerlahkan kerapuhan kawasan ini dan potensi kerosakan dari interaksi manusia. Akibatnya, pengendali dan pelawat harus mematuhi garis panduan beretika apabila memasuki persekitaran sedemikian.

Segerombolan gajah bersama anak gajah di Sira Gaja, Ulu Muda. Gambar oleh GreenSmiths. 

Panduan beretika untuk pelancongan hidupan liar di Earth Lodge

Dr Ahmad Zafir dari The Habitat Foundation telah bekerja dalam bidang pemuliharaan hidupan liar selama 20 tahun. Beliau menjadi sukarelawan pemandu pelancong alam semula jadi di Earth Lodge dan menyokong rakan naturalis Hymeir Kamarudin, pengarah dan juga pengasas kepada Earth Lodge. 

Sebagai pemandu pelancong alam semula jadi, mereka percaya bahawa Ulu Muda adalah antara tempat yang terbaik untuk melihat gajah liar di Semenanjung Malaysia. Tetapi kawasan-kawasan seperti ini rapuh dengan ekosistem sensitif yang hanya boleh terus berkembang jika impak daripada manusia diurus dengan cermat.

Pelayaran sungai dalam kumpulan kecil di Ulu Muda. Gambar oleh GreenSmiths.

1. Pergi dengan kumpulan kecil

Earth Lodge menganjurkan saiz kumpulan yang sangat terhad demi memastikan impak negatif daripada aktiviti manusia (bunyi, sisa, dll) dikurangkan. Sebuah bot hanya boleh memuatkan tiga hingga empat peserta pada kadar maksimum, dan hanya satu hingga dua pemandu pelancong. Ini bermaksud saiz kumpulan yang wajar seharusnya berada diantara enam hingga lapan orang sahaja. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan impak bunyi, bau, dan sisa yang mungkin berlaku terhadap hidupan liar.

2. Dengar dan tunggu dengan sabar untuk arahan pemandu pelancong

Ulu Muda secara amnya adalah hutan tanah rata yang sesuai sebagai habitat untuk haiwan yang besar, tetapi hutan hujan adalah tidak seperti safari di savana. Haiwan yang besar seperti gajah boleh bersembunyi di antara dedaun tebal walaupun anda berjalan kaki atau menaiki bot. 

Ianya mungkin agak menggoda untuk anda bergerak ke hadapan pemandu pelancong anda tetapi perkara ini boleh membahayakan anda dan juga boleh membawa impak yang negatif terhadap kesejahteraan hidupan liar dan juga peluang anda untuk melihat mereka. 

Pemandu pelancong lebih tahu tentang tingkah laku haiwan liar, di mana mereka suka berkeliaran, and juga cara yang digunakan untuk mengenal pasti kehadiran manusia. Mereka akan mengarah anda tentang laluan yang terbaik, tempat yang sesuai untuk melihat, dan juga kadar yang sesuai untuk bergerak. Pastikan suara anda rendah dan juga elakkan dari membawa barang yang boleh membuat bunyi bising demi memastikan gangguan yang minima. 


Pelawat dari sebuah universiti tempatan menjaga jarak mereka daripada hidupan liar di atas bot. Gambar oleh Jonathan Lai, GreenSmiths. 

3. Jika anda ternampak sesuatu, jangan mendekatinya

Memerhati tingkah laku haiwan apabila ianya tidak diganggu oleh manusia ialah cara terbaik untuk menikmati pemandangan alam semula jadi yang beretika. Jika anda dapat melihat haiwan semula jadi apabila berada di atas bot atau darat, cuba untuk tidak bergerak kecuali jika anda sedang mengundur diri untuk memastikan anda berada pada jarak yang selamat daripada haiwan tersebut. 

Apabila kita melihat gajah, perlulah kita selalu memastikan jarak kita sekurang-kurangnya pada 80 sehingga 100 meter jauhnya. Jika anda perlu mengubah jarak anda, gerak secara perlahan tanpa sebarang pergerakan mengejut supaya anda tidak menakutkan mereka. 

Anda tidak sepatutnya mendekati gajah - perkara ini sangat berbahaya. Beberapa interaksi antara manusia dan gajah telah berakhir dengan kematian apabila gajah tersebut merasakan dirinya dalam bahaya. Ini terutamanya berlaku apabila gajah melindungi anaknya yang lebih muda dalam kumpulan mereka.

Pelancong tempatan serta antarabangsa melihat hidupan liar dari pelayaran sungai, dengan bantuan daripada pengemudi kapal dan pemandu pelancong. Gambar oleh GreenSmiths.

4. Bawa peralatan pemerhatian yang betul

Memandangkan anda dinasihatkan untuk menjaga jarak anda, sepasang teropong yang bagus dan/atau kamera dengan kanta foto bersaiz baik adalah satu kemestian. 

Berhati-hati pada waktu malam apabila menggunakan lampu suluh putih yang terang untuk menerangi haiwan. Walaupun ini boleh membantu anda untuk mengesan, keamatan cahaya boleh menjejaskan penglihatan haiwan itu - dan juga penglihatan anda serta tetamu yang lain. 

Jika anda ternampak haiwan liar, cuba hadapkan lampu suluh anda sedikit ke tepi supaya ia tidak terarah terus ke mata haiwan tersebut. Lebih baik lagi jika anda boleh menggunakan penapis merah yang akan melembutkan cahaya bagi haiwan tersebut.

5. Hutan hujan adalah bufet - jangan beri makan kepada haiwan 

Kita selalu mendengar tentang orang memberi makan kepada haiwan liar di dalam hutan kerana mereka bimbang tentang kekurangan sumber makanan tetapi kebiasaannya ini adalah hasil dari maklumat yang kurang benar. Hutan hujan memberi semua keperluan makanan dan mineral yang diperlukan untuk haiwan liar, dan sisa mereka menyumbang semula kepada tanah di mana lebih banyak makanan akan tumbuh. 

Pengenalan sumber makanan yang tidak lestari dan bukan semulajadi oleh manusia boleh merosakkan keseimbangan ini dan juga kesihatan semula jadi haiwan dan tumbuhan. Jangan tinggalkan makanan anda dan jangan buang sisa makanan ke dalam sungai atau hutan. 

6. Bawa keluar semua sampah anda - atau jangan membawa barang yang bahaya masuk ke dalam hutan hujan dari awal

Ini termasuk pembalut, botol plastik, makanan yang tidak habis dimakan - tetapi syampu yang diguna pakai atau kain sintetik pada pakaian anda juga boleh meninggalkan kesan. .Apabila anda duduk di tempat pengintipan yang menghadap ke jenut, anda bukan sahaja mahu menyembunyikan kehadiran visual anda tetapi menjadikan diri anda sukar untuk dihidu juga! 

Bagaimana jika anda memakai pakaian yang dihasilkan daripada bahan semula jadi dan bukannya sintetik yang boleh menangkap bakteria di dalam kain dan membuatkan bau badan anda lebih kuat? Bagaimana pula jika tidak memakai solekan, pewangi atau bau sintetik lain apabila anda melawat? Kembali ke versi semula jadi anda. 

7. Hutan hujan adalah sebuah bufet - tetapi bukan untuk anda

Akhirnya, anda mungkin pernah mendengar frasa 'take nothing but photographs, leave nothing but footprints'. Hutan hujan dapat menyediakan sumber makanan yang mencukupi untuk haiwan dan juga manusia. Anda mungkin tergoda untuk mencuba buah yang nampak sedap, tetapi pada zaman sekarang, ramai orang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk memahami apa yang selamat untuk dimakan. Cadangan kami adalah untuk tidak mencuba. 

8. Jangan buat laluan baru

Selain itu, jangan merosakkan tumbuhan dengan memotong atau menginjaknya - walaupun jika anda ingin mencuba untuk menambah baik pemandangan anda, berkemungkinan anda akan dengan tidak sengaja mengejutkan haiwan-haiwan tentang kehadiran anda dan merosakkan ekosistem di kawasan sekitarnya. Jika laluan anda terhalang oleh serpihan yang terjatuh, biarkan pemandu pelancong anda untuk menguruskannya. 

9. Jangan pulang dengan apa-apa yang bukan milik anda

Akhir sekali, jangan membawa apa-apa barang keluar sebagai cenderahati - hutan hujan adalah suatu aliran tenaga dimana setiap nutrien kembali semula kepada ekosistemnya. 

Pelayaran sungai pada waktu pagi meninggalkan Earth Lodge. Gambar oleh GreenSmiths.

Marilah kita meninggalkan hutan dengan cara yang terbaik; kita boleh bayangkan pada suatu hari nanti, jauh di masa hadapan, keturunan kita juga mampu untuk menikmati pengalaman yang unik melihat seekor gajah Asia yang sihat bersama anaknya menghirup mineral daripada jenut garam, tanpa gangguan atau dicederakan oleh kewujudan kita.

Penulis: Chrissy Lind-Hunter (GreenSmiths/The Habitat Foundation)
Penyumbang maklumat: Hymeir Kamarudin (Earth Lodge Malaysia) dan Dr Ahmad Zafir (The Habitat Foundation)